m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Saturday, February 24, 2018

Neuformation di Avillion PD: Bercanda di pantai

Bahagian 10

Puas sudah kami bersiar-siar di pekarangan hotel. Setiap ceruk penjuru kami redah. Depan rumah. Belakang rumah. Habis kami teroka. Habis kami tinjau. Sergah! Tapi masih tak berasa puas selagi tidak bertemu dengan pasir pantai. Tidak bersua dengan ombak laut. Tidak bertentang dengan deru angin. Lalu kami menapak sejauh mata memandang untuk ke destinasi yang dimaksudkan. 

Tak sampai pun tiga hari tiga malam kami berjalan, suasana istimewa yang kami cari-cari telah pun kami temui. Isteri dan anak-anak kecil terus mengorek pasir. Membina istana pasir. Wanie pula terus mencapai gitar dan mula mengalunkan lagu Metallica - Sandman (pasal dekat dengan pasir).

Wanie mula mencapai dan memetik gitar.
Tiung tiung tiung... begitulah bunyi gitarnya.
Dalam masa yang singkat, dekat tiga puluh lagu telah Wanie perdengarkan.
Syahmie yang kehausan telah mula menggali perigi.
Kaki dimasukkan ke dalam lubang untuk disejukkan.
Alamak! Ada jerung putih pulak dalam lubang ni.
"Lebih baik angkat kaki sebelum dia ngap kaki aku ni", fikir Syahmie.
Wani sempat melayan permintaan peminat melalui FB Live!
Isteri dan anak-anak kecilku masih lagi duduk di atas pasir putih. Errr... maksud aku pasir kelabu. Kelabu taik anjing yang keperangan. Beberapa istana pasir dibina. Dengan menggunakan baldi dan alatan mengorek. Serta konkrit dan besi cerucuk. Batu bata dan simen turut digunakan. Jubin, marmar dan siling plaster dan kemasan GFRC turut dipakai. Dan hasilnya... istana pasir yang luar biasa hebatnya. Yang layak didiami oleh raja-raja agung seluruh dunia. Dan kesemuanya ini dibina dalam masa yang singkat ketika mereka berada di tepi pantai.

Amier, Sabriena dan isteriku bertungkus lumus membina istana pasir.
Baru siap bina foundation.
Amier tengah buat kerja tanah sebelum penanaman cerucuk dimulakan.
Lubang digali sudah hampir tujuh meter dalamnya.
"Eh! Macam ada harta karun rasanya".
Maka lebih bersungguh-sungguhlah Amier membuat penggalian.
Menyiram benih pokok kacang 'Jack & The Bean Stalk' supaya cepat membesar.
Dua beranak sedang sedaya upaya menyiapkan istana yang berprestij ini.
Sabriena pulak sedang menyiram benih pokok tauge.
Dan pokok mempelam.
Serta pokok durian musang king.
Semoga pokok-pokok ini cepat membesar.
Amier dah jumpa harta karun. Tapi harta tu dia dah buat belanja beli aiskerim.
Di satu penjuru yang lain, aku, Syahmie dan Wanie masih lagi bergilir-gilir bermain gitar. Habis kesemua lagu yang wujud di atas muka bumi ini kami mainkan dengan sebegitu merdu sekali. Tali gitar sampai haus dan genting. Pengunjung pantai lantas berkerumun. Mereka fikir ada konsert sedang berlangsung. Ada yang menghampiri dan meminta autograf. Ada segelintir yang ingin bergambar bersama. Kami tidak menolak. Kami siap pungut duit saguhati yang penonton berikan kepada kami kerana kepuasan. Jumlah kutipan tak kurang dari setengah juta ringgit. Boleh buat bekal untuk Family Day tahun hadapan pulak.

Bersambung...

Syahmie dan Wanie masih membuat konsert lagi.
Aku pun nak tunjuk bakat dengan mengalunkan lagu Pok Amai-amai.
Masa aku nyanyi lagu ni aje, kesemua penonton terus beredar pergi.
Malah penguhuni kat banglo sebelah pun siap tutup pintu dan tingkap lagi.

Wednesday, February 21, 2018

Neuformation di Avillion PD: Bersiar sambil memancing

Bahagian 9

Setelah selesai bersarapan di dewan makan, kami terus bersiar-siar di pekarangan hotel. Bergambar kenangan di beberapa sudut strategik yang tidak dikunjungi manusia. Tidak lama selepas itu, kami terus ke pinggir marina melihat ikan-ikan berenang-renang dengan perasaan gumbiranya. Kami ambil kepingan-kepingan roti yang kami songlap dari dewan makan dan melemparkan cebisan-cebisan kecil ke air. Ikan-ikan tadi berebut-rebut mendapatkan roti yang kami campak tadi. Sangat berselera mereka makan. Bagaikan dah berkurun tak makan. Kami suakan lagi roti. Semakin galak ikan-ikan mengejar. Dan semakin banyak pula yang berhimpun dan mengerumuni kami. Sesekali aku terasa macam artis yang dikerumuni peminat. (Tapi peminat aku tu ikanlah. Keh keh keh...)

Ke suatu ruangan terpencil.
Ladies photo shoot session.
Porch bahagian ni memang langsung tak ada orang yang pergi jenguk.
Masih bersiar-siar di pekarangan hotel.
Last pose sebelum bergerak pergi.
Menjenguk ikan di kawasan marina.
Happy nengok ikan main air.
Isteriku lantas mendapat satu idea yang bernas. Dikeluarkan joran teleskopik dari beg, dipasangkan umpan pada mata kail, dan dilemparkan umpan ke dalam air. Agar tidak jelas obvious aktiviti memancing sedang dijalankan, isteriku hanya menggunakan kaedah memancing secara 'hand line', maknanya tak pakai joranlah. Sabriena menemani mamanya dengan penuh setia. Begitu jugak dengan Wanie dan Syahmie. Amier pulak yang sedari tadi memang dah tak sabar-sabar nak ke pantai, sekadar duduk menanti dengan wajah monyok di satu penjuru.

Memancing menggunakan 'hand line'.
Sabriena seronok bagi ikan makan roti.
Syahmie mencari ilham untuk mecipta lagu mengenai ikan.
Amier dah mula bosan dan monyok menanti saat untuk ke pantai.
Lama jugak isteriku memancing menggunakan hand line. Namun tidak seekor ikan pun yang berjaya dipancing. Ikan-ikan di kawasan marina ini memang sangat bijak dan cerdik. Sempat aku bertanya soalan Matematik Tambahan kepada ikan-ikan tersebut. Dan amat menakjubkan, kerana semua soalan Matematik Tambahan yang aku ajukan telah berjaya dijawab oleh ikan-ikan itu denagn tepat. Ini menunjukkan bahawa ikan-ikan kat situ memanglah bijak tanpa boleh dinafikan lagi. Setelah agak lama berada di situ, barulah kami mula mengorak langkah menuju pantai yang terletak kira-kira 400 meter dari tempat kami berada.

Bersambung...

Memancing anak beranak.
Ikan masih tak memakan umpan.
Inilah kawasan marina yang menjanjikan hasil laut yang lumayan.


Tuesday, February 20, 2018

Neuformation di Avillion PD: Jom sarapan!

Bahagian 8

24 Disember 2017 - Hari semalam memang sangat meletihkan. Letih memandu. Letih beraktiviti. Letih makan-makan. Tidur semalam pun sangat nyenyak tanpa diganggu. Pagi ini kami bersemangat. Sangat bersemangat. Satu famili bangun awal pagi. Bergegas ke tempat makan untuk bersarapan. Kami antara yang terawal sampai menghadap makanan di dewan makan. Tempat duduk paling selesa dipilih. Dan kami pun melabuhkan punggung kami di atas kerusi. Kemudian berdiri kembali untuk mendapatkan makanan. Jenuh aku tawaf mengitari ruang makan. Belek punya belek, tak tahu pulak apa yang hendak dimakan. Sebenarnya selera aku pada pagi itu tidak begitu terbuka. Al-maklumlah, semalam dah makan terlalu banyak sampai memboyot perutku. Pagi ni dah tak berasa lapar langsung gamaknya.

Sabriena dah bersiap-siap dengan perkakas buat sand castle-nya.
Amier dan Syahmie pun tak makan banyak seperti selalu.
Wanie pun berpada-pada ketika makan.
Syahmie pekena roti bakar pulak.
Sabriena dan Mama.
Wanie nak diet gamaknya.
Awie dan famili seronok dapat makan breakfast buffet.
Awie tengah senak perut. Kena rehat sekejap.
Anak teruna yang pemalu.
Famili aku yang lain pun nampaknya tak makan banyak sangat. Wanie dan Amier yang memang selalunya makan banyak kalau ada buffet, pun kurang berselera. Tapi aku tengok teman-teman yang lain makan macam tak ingat dunia pulak. Nyomp-nyomp-nyomp... Dari satu menu ke satu menu. Non stop. Dari nasi lemak ke mi goreng. Dari sosej ke roti bakar. Dari telur scrambled ke cereal. Terus menerus makan. Selagi larat, makanlah. Free pulak tu kannn...

Adika dan Shamyl paling bersemangat.
Zu pun tengah diet jugak.
Farah dan Ayu dah berhenti makan. Sekejap lagi nak sambung balik.
Hakim sibuk melayan anak.
Wadi mendodoikan anak yang sedang mengantuk.
Farhana pulak yang jaga baby. Wadi pulak yang makan.
Tron dan isteri makan pagi bersama-sama.
Keluarga Azrin bersarapan.
Layan whatsapp dan FB sekejap.
Azrin dan isteri.
Yang makan terus makan. Yang layan hand phone terus layan hand phone.
Rasa makanan kat pinggan sebelah pulak.
Membiarkan teman-teman terus makan, kami pula menyingkatkan waktu makan kami. Terus keluar dari dewan. Banyak aktiviti di pagi hari yang ingin kami buat untuk melangkapkan percutian kami di Avillion Admiral Cove ini. Aku nak pergi mancing. Anak-anak nak main pasir kat pantai dan nak mandi kat swimming pool. Isteriku pulak nak mancing kat marina belakang hotel. Masing-maisng ada agenda masing-masing. Mintak diri ya? Kami gerak dulu.

Bersambung...

Famili Ar Jalid.
Dah kenyang ke?
Perut Awie dah lega. Sambung makan balik.
Shamyl meneruskan aktiviti makannya dengan bersungguh-sungguh.
Awie dan bakal pemain bola sepak kebangsaan.
Amier nengok aje abangnya makan roti.
"Saya nak makan. Saya nak makan!" kata baby kepada mamanya.