m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Thursday, March 17, 2016

Kembalinya Ayahanda tercinta ke Rahmatullah

28 Februari 2016 - Mohon sekelian pembaca menghadiahkan bacaan Al Fatihah buat Allahyarham ayahandaku, Haji Matari Bin Abdul Rahman. Al Fatihah...


Kira-kira lebih dua minggu yang lalu, Ayah telah dijemput Ilahi. Ayah yang pada mulanya boleh menikmati makanan dengan enak, tiba-tiba cukup tidak berselera. Yang diidam tidak mampu dikunyah. Yang dikunyah tidak mampu ditelan. Cuma air yang diminum berkali-kali sebagai penghapus dahaga. Tekak kian sarat dengan kahak yang pekat.

Pada hari Sabtu, 27 Februari 2016, aku dan isteri telah ke Kuantan, menghantar Abby bertunang. Bila pulang, aku lihat Ayah sudah tidak mampu menelan air yang kuberikan kepadanya. Lama aku menatap Ayah yang sengsara dengan tubuh yang longlai. Macam-macam yang bermain di fikiranku.

Esok harinya, Ahad 28 Februari 2016, ibuku menyuruh aku membawa Ayah ke hospital untuk dirawat. Fikirku, mungkin pihak hospital dapat memasukkan air ke dalam darah agar Ayah berasa sedikit segar. Dan dengan ubat-ubatan yang diberi doktor, mungkin kahak yang bertakung boleh dikurangkan. Aku berkata kepada Ayah, "Lepas solat zuhur kita pergi hospital ya?" Ayah mengangguk. Tubuh Ayah telah kubersihkan terlebih dahulu. Cuma kemeja sahaja yang belum kupakaikan. Sebelum ke hospital nanti, barulah akan kusarungkan kemeja ke tubuh ayahku.

Azan zuhur pun berkumandang. Aku solat zuhur di rumah. Terus aku ke bilik, melihat Ayah sedang berbaring seperti biasa. Kuambil sehelai kemeja lama, dan kupakaikan ke tubuh Ayah. Belum pun sempurna kemeja dipakaikan, Ayah terus berbaring semula. Tubuhnya betul-betul longlai kali ini. Tapi Ayah tidak berkata apa-apa. Aku lantas memeluk dan mendukung Ayah dan mendudukkannya di atas kerusi roda. Sejurus Ayah berada di atas kerusi roda, kulihat wajah Ayah sangat berbeza dari yang biasa kulihat. Terbit sedikit rasa panik. Aku bisikkan ke telinga Ayah, "Allah, Allah, Allah" berkali-kali. Lalu kupanggil Wanie (yang sepatutnya pulang ke asrama petang itu) untuk bersalaman dengan Ayah dan menyuruh Wanie mencium datuknya itu. Aku, ditemani anak saudaraku, Yana terus ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.

Kami menanti giliran. Akhirnya nama Ayah dipanggil. Jururawat memeriksa tekanan darah Ayah. Bacaan tidak dapat diambil. Cuba lagi. Masih gagal. Jururawat memanggil Ayah dengan suara yang agak kuat. Tidak bersambut. Seorang jururawat yang lebih senior datang dan memeriksa nadi Ayah. "Panggil doktor!" kata jururawat itu. Ayah kemudiannya dibawa ke atas katil. Bacaan ECG diambil. Doktor memeriksa nadi dan mata Ayah. Dan di layar ECG menunjukkan tiada degupan jantung. Doktor mengesahkan Ayah telah tiada. Kata doktor, nadi Ayah mungkin telah terhenti sebelum kami tiba di hospital lagi. Aku tidak menangis atau berteriak. Aku masih tenang dan menerima hakikat ini. Cuma ketika hendak menyampaikan berita ini kepada Yana yang menanti di luar, kepada Ibu dan isteriku di rumah, aku jadi sebak.

Aku yang jahil dan naif mengenai kematian, tidak pasti bilakah sebenarnya roh Ayah telah diangkat keluar dari jasad. Adakah ketika kami dalam perjalanan ke hospital? Adakah ketika Ayah berada di atas kerusi roda? Atau adakah ketika aku sedang memeluk Ayah erat, ketika dada kami merapat, dan wajah kami bersentuhan? Sesungguhnya aku memang tidak tahu. Yang aku tahu cuma kini Ayah telah pergi meninggalkan kami buat selamanya.

Pada malam hari, ramai yang menziarahi Ayah - saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan, bekas murid-murid Ayah. Malam itu aku tidur betul-betul di sebelah jenazah Ayah, di ruang tamu.

Jenazah Ayah dibawa ke Masjid untuk diuruskan.
Pusara Ayah.
Aku, Abang Mansor dan Farid sedang mengebumikan jenazah Ayah.
Pada esok harinya, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al Huda, di Kampung Melayu Ampang untuk diuruskan. Aku, Abang Mansor, Syahmie dan Farid, bersama dua orang petugas masjid bersama-sama memandikan jenazah Ayah. Waktu ini kurasakan sangat sayu dan hiba sekali. Menyedari inilah kali terakhir aku berpeluang memandikan Ayah. Jenazah Ayah dikafankan. Kemas. Sementara menanti waktu solat jenazah dimulakan, aku didatangi oleh seseorang yang tidak pernah aku kenali. Beliau mengenalkan diri sebagai Malik, teman sepejabat Ayah ketika di Kompleks Budaya Negara dulu. Lebih khusus, orang yang sering menemani Ayah ketika makan tengah hari. Ada sesuatu yang diungkapkan kepadaku mengenai Ayah yang membuat hatiku tersentuh. Air mataku mula menakung. Lekas-lekas kukesat sebelum ianya berlinang jatuh di pipi.

Setelah seketika menunggu, imam yang sepatutnya mengetuai solat jenazah tiba. Aku menghampiri Tuan Imam, dan memohon agar aku diberi kebenaran untuk mengimami solat jenazah ini. Tuan Imam menyetujui. Aku bersyukur ke hadrat Allah, hasratku ini kesampaian. Jenazah Ayah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang. Dan itulah kali terakhir aku menatap wajah Ayah sebelum jenazahnya dilitupi dengan tanah sepenuhnya. Bersemadilah jasad Ayah di sisi kekandaku yang telah terlebih dulu pergi kira-kira dua tahun yang lalu.

Mengebumikan jenazah Ayah.
Sanak-saudara bekerjasama.
Imam membacakan Surah Kahfi dan talqin.
Jemaah mendengar dengan khusyuk.
Syahmie menjirus air.
Menabur bunga di pusara.
Pusara Ayah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai Ampang.
Kira-kira seminggu setelah Ayah pergi, aku dan Amier telah pergi menziarahi pusara Ayah. Kami bertahlil di sana. Amier pula telah menyiapkan nesan sementara untuk diletakkan di pusara datuknya. Kini sudah tidak ada apa yang mampu kulakukan untuk terus berbakti kepada Ayah buat bekalan di alam sana. Melainkan aku MESTI menjadi seorang anak yang Soleh. MESTI! Dan berharap agar amalan dan doaku diterima oleh Allah dan dijadikan asbab untuk pelepasan Ayah dari segala kesengsaraan di alam akhirat. Semoga Ayah disatukan, dan digolongkan di kalangan orang-orang yang beriman yang mendapat redha dan lindungan Allah sentiasa. 

AMIN.

Amier menemaniku ketika menziarahi pusara Ayah.
Nesan sementara yang dibuat oleh Amier.

Tuesday, March 15, 2016

Mi Mamak - makan sambil beramal

Pada tahun 2012 dulu, aku pernah berkisah pasal penjaja mi goreng mamak di Ampang Jaya. Masa tu Bashir (penjaja mi goreng yang kini menjadi sahabatku) bergerak dengan hanya menggunakan sebuah motorsikal tua. Kini, berkat kegigihannya, dan rezeki yang dilimpah ruahkan oleh Allah, perniagaan sambilan Bashir telah berkembang maju. Bashir kini memiliki sebuah lori niaga

Lori niaga baru milik Chef Bashir.
Alamat dan nombor kontek semua ada tertera di sini.
Harga mi goreng mamak yang disediakan oleh Bashir telah sedikit meningkat menjadi RM4.00. Masih murah. Dah rasanya masih sesedap dulu. Cuma kali ini Bashir turut menyajikan ayam goreng panas. Dan kalau ada rezeki, insya Allah, cendol juga akan turut dijual. Di gerai aku nengok Bashir masih gigih menggoreng mi. Bila azan zuhur atau asar berkumandang, gerai akan ditinggalkan seketika. Solat jemaah di surau yang berdekatan perlu didahulukan.

Sedang menyediakan mi goreng yang dipesan pelanggan.
Segala macam adunan rahsia dimasukkan ke dalam ramuan ini.
Sikit lagi mau masak.
Okay! Satu mi goreng mamak siap!!!
Ada kalanya, pada hari-hari tertentu, Bashir akan menyediakan sebuah tabung kutipan amal untuk rumah anak yatim di Kelang. Pada hari-hari tersebut, semua hasil kutipan menjual mi goreng akan dimasukkan ke dalam tabung dan jumlahnya akan didermakan ke rumah anak-anak yatim tersebut. Bashir turut berpesan kepadaku, jika ada sesiapa yang ingin mendermakan wang ringgit atau pakaian terpakai, boleh saja diberikan melalui beliau. Seeloknya pakaian terpakai itu masih dalam keadaan baik dan bersihlah. 

Kepada semua pembaca, silalah menikmati keenakan mi goreng mamak masakan Chef Bashir yang berada di lokasi Jalan 1 Ampang Jaya. Berdekatan dengan taman permainan kanak-kanak, deretan kedai satu tingkat, dan dewan orang ramai. Dan sambil-sambil tu, berdermalah ke rumah anak-anak yatim - Institut Taufiq Islami, Kelang. Buat masa ini waktu operasi hanya pada hari Sabtu dan Ahad.

Wassalam.

Alamat yang tertera pada lori niaga.
Resit sumbangan derma kepada Institut Taufiq Islami, Kelang.

Monday, March 14, 2016

Lafaz ikrar di Maahad Hamidiah

19 Februari 2016 - Pada hari Jumaat ini kami ke sekolah Wanie di Kajang. Ada majlis khusus buat pelajar-pelajar dan ibu bapa para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM pada hujung tahun ini. Majlis diadakan di Dewan Al-Syafie kira-kira jam 3 petang. Ibu bapa yang datang cuma segelintir. Yang lain semuanya para pelajar.

Kami masuk dewan agak lewat. Bonda Pengetua sedang memberikan taklimat mengenai pencapaian pelajar-pelajar pada tahun-tahun yang lepas. Dan taklimat mengenai target untuk tahun 2016 ini. Aku mendengar dengan memberikan separuh perhatian. Kami duduk agak terkebelakang. Kurang dapat menjiwai apa yang dituturkan oleh panel di sebelah hadapan. Setelah sessi ucapan selesai, menyusullah sessi ikrar. Bermula dengan pelajar-pelajar. Semua pelajar bangkit, mengangkat tangan kanan. Dan ikrar dilafazkan. Berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan. Setelah para pelajar, giliran para guru pula yang berdiri dan berikrar. Berjanji akan mendidik anak-anak Maahad Hamidiah dan membantu mereka memburu kegemilangan.

Sebelum majlis ditutup, para ibu bapa pula yang diminta berdiri. Aku tidak terkecuali. Ketika ibu bapa berdiri, anak-anak bertepuk tangan dengan gemuruh. Gamat dewan seketika. Tepukan anak-anak bagaikan meraikan ibu bapa mereka. Bagaikan mengharap sokongan padu, restu dan doa yang tak putus-putus dari ayahanda dan bonda. Ketika ini aku berasa sebak. Bukan saja aku, malah ibu bapa yang lain juga berperasaan sedemikian. Dan kami pula yang melafazkan ikrar. Berjanji untuk membantu anak-anak kami sedaya mungkin demi sebuah kejayaan. Sesudah ikrar dibacakan, aku terlihat ada sebahagian para ibu yang mengesat air mata mereka.

Setelah majlis bersurai, kami mengambil kesempatan berjumpa dengan beberapa orang guru yang mengajar Wanie untuk membincangkan soal strategi pembelajaran yang berkesan bagi Wanie. Kami pulang setelah azan asar dikumandangkan. Semoga anak-anak Maahad Hamidiah akan mencapai kejayaan yang diharap-harapkan - di dunia dan di akhirat.

Pemandangan di dalam Dewan Al-Syafie, Maahad Hamidiah Kajang.

Saturday, March 12, 2016

Syahmie beradu hafazan

28 Februari 2016 - Pada tarikh ini Syahmie telah masuk pertandingan Hafaz Al-Quran kat sekolah dia di MRSM Ulul Albab Gemencheh. Kalau tak silap aku dia masuk Kategori Juzuk 1-3. Pertandingan tu diadakan di sebelah pagi. Dan keputusannya, Syahmie dapat tempat kedua. Okaylah tu. Walaupun Syahmie dah selesai menjalani proses penghafazan sampai 30 juzuk, namun pesan Ustaz Saiful yang mengajar Syahmie dan pelajar-pelajar yang lain, ulangan menghafaz perlu dibuat berkali-kali supaya boleh terus ingat. 

Kami berharap agar Syahmie sebagai anak yang sulung dapat menjadi contoh teladan kepada adik-adiknya untuk turut sama mendekatkan diri dengan Al-Quran, dan mengamal dan menyampaikan ajarannya. Begitulah hendaknya.

Syahmie menerima hadiah dari Pengetua.

Wednesday, March 9, 2016

TTC vs UTM lagi 2016: Siapa memang, siapa kalah

Bahagian 3 (Akhir)

Persaingan TTC vs Ex-UTM berlangsung dengan sangat sengit. Setakat ini, Team TTC telah kalah satu set. Set yang lain semuanya TTC menang. Meh aku sambung kisah selanjutnya. Seterusnya, Team TTC diwakili pula oleh dua orang pemain berpengalaman luas dalam dunia tenis - Amir dan Fauzi. Kedua-dua pemain TTC ini telah beberapa kali menjelajah dunia dalam siri ATP. Dan telah beberapa kali memenangi kejuaraan jelajah ATP, khususnya Nigeria Open, Madagascar Open dan Mozambique Open. Pertemuan dengan Team Ex-UTM ini boleh dikirakan sebagai berat sebelah. Kelihatannya Amir dan Fauzi sangat mudah memperolehi mata demi mata. Malah dalam set ini jugak, Amir telah berjaya membuat servis 'triple ace'! Pemain pro pun belum tentu boleh buat triple ace. Dalam set ini, gandingan TTC menang 6-0.

Gandingan Amir dan Fauzi yang sangat hebat mewakili TTC.
Kelebihan pemain TTC adalah pada pengalaman mereka.
Faizal memberikan kata-kata perangsang kepada team TTC.
"Mung semua kalau menang, aku upoh sekut sekotok sorang".
Ashraf dan Annuar sedang menikmati keenakan nasi kerabu berkuah budu, lauk ketam, dan gulai kambing.
Entah kenapa, tetiba Faizal naik angin dan memarahi Annuar kerana tak bagi dia rasa nasi kerabu sikit. Annuar terus tergamam dan menangis kesedihan.
Faizal dan Azril - dua jagoan dan ayam tambatan TTC.
Fauzi menghembus hidungnya yang banyak hingus.
Hidung dah clear, barulah selesa untuk meneruskan permainan.
Amir memang dah lama nak menepuk bahu pemain lawannya. Akhirnya hajatnya tercapai.
Salam takziah dari Amir dan Fauzi kepada pihak lawan.
Terpancar sinar kepuasan di wajah Amir dan Fauzi.
Set selanjutnya adalah gandingan teman baik sepanjang masa (Best Friend Forever) - Atok Baktiar dan Eddy. Perlawanan menentang Team Ex-UTM kali ini dianggap sebagai buku bertemu ruas. Sama cantik, sama padan. Sama kuat, sama tampan. Cuma tinggi aje tak sama. Setiap game yang dilalui pasti menempuh deuce. Setelah mereka berentap selama tiga hari tiga malam tanpa henti, akhirnya mata terikat 5-5. Permainan perlu diteruskan. Siapa dapat mata ketujuh dulu, dialah yang menang. Pertarungan diteruskan lagi. Tanpa henti. Tanpa commercial break. Nasib baiklah Atok Baktiar dan Eddy masa SPM dulu subjek Matematik dapat A. Maka mereka akhirnya telah berjaya juga mencecah mata ketujuh mendahului Team Ex-UTM. Kesudahannya TTC menang 7-5.

Atok dan Eddy gandingan yang tak mungkin dapat dipisahkan.
Wajah-wajah ceria sebelum perlawanan.
Kemanjaan Fauzi di samping Izad adakalanya sangat terserlah.
Set selanjutnya - TTC diwakili oleh Nafi dan Bobby. Tak ubah macam Fad dan Abam dari kumpulan pelawak Bocey. Strategi Team TTC adalah untuk menggunakan Bobby sebagai perisai di bahagian hadapan. Strategi ini nampaknya bagaikan membuahkan hasil. Semua bola yang dihantar, telah berjaya dikembalikan oleh Bobby dengan hanya menggunakan tubuhnya yang besar itu. Tetapi itu semua itu hanya sementara sahaja. Setelah sekian lama menerima asakan bola yang datangnya bertubi-tubi, tubuh Bobby akhirnya manjadi semakin lemah. Dan pada ketika inilah pihak lawan telah mengambil kesempatan untuk menyerang balas, sehinggalah Team TTC tewas 2-6 di tangan Team Ex-UTM. Ini adalah kekalahan kedua bagi Team TTC.

Gandingan Bobby dan Nafi.
Bobby - fizikalnya sering mencemaskan pihak lawan.
Sementara semua penonton sedang asyik menyaksikan perlawan doubles, di satu sudut gelanggang yang lain, perlawanan single telah turut dijalankan. Jimmy (TTC) menentang Solihin (Ex-UTM). Setakat yang aku sempat tengok, nampaknya macam seimbang. Cuma Jimmy kelihatannya bermain dengan sangat agresif, bagaikan serigala mendapat kibas. Bagaikan singa mendapat seladang. Bagaikan lembu mendapat rumput. Kesudahan perlawanan ini aku pun tak tahu. Kalau nak jugak tahu, biarlah Jimmy dan Solihin sendiri yang menjawabnya.

Permainan single - Ex-TTC vs TTC.
Jimmy menentang Solihin.
Pertemuan mereka agak sekata.
Team TTC selanjutnya telah diwakili oleh Ashraf dan Annuar. Setakat yang aku nengok, nampak gayanya Team TTC lebih menguasai permainan. Tapi aku tak sempat nengok sampai habis pasal tak lama lepas tu nama aku pula yang dipanggil untuk bermain mewakili TTC. Aku berpasangan dengan Pasangan Jawaku - Izad. Kami menentang gandingan Aziz dan Faris. Ya, aku memang tahu nama-nama lawanku. Sebab kebiasaannya aku akan bertanya nama mereka dulu sebelum membuat perhitungan. 

Pada peringkat awalnya, Faris dan Aziz telah membuat pukulan-pukulan padu yang menyebabkan aku dan Izad terpaksa berlari ke hulu dan ke hilir mengejar setiap bola yang dihantar. Kami terasa dibuli dan dipermainkan, sebab kedua-dua kami tidak boleh bergerak laju kerana faktor umur dan faktor berat badan. Pada waktu rehat, aku menghampiri Aziz dan Faris. Lalu aku bagi satu pet talk kepada mereka. Kataku: "Kami ni dah tua. Umur saya dah cecah 50 tahun. Umur Pakcik Izad pulak dah dekat 75 tahun. Pukul slow-slow sudahlah. Kesianlah dekat kami".

Setelah aku meluahkan kata-kata simpati seumpama itu, aku perasan Team Ex-UTM telah mula memperlahankan rentak permainan. Dan waktu inilah kami mula mengejar mata demi mata sehingga kami mencecah mata keempat. Namun pihak lawan tetiba telah tersedar dari lamunan, dan mereka pun menggandakan asakan. Kami tak mampu bertahan. Akhirnya kami tewas jugak 4-6 di tangan Team Ex-UTM. Setelah tamat permainan barulah aku tersedar, bukankah aku jugak merupakan ex-UTMer? Sepatutnya aku berkata begini kepada Aziz dan Faris: "Lu tau gua siapa? Masa time kat UTM dulu, gua adalah Abang Long merangkap Ayahanda Tiri. Lu jangan main-main dengan gua ha? Sekarang gua nak lu bagi gua menang. Kalau tidak......." Ha! Macam tulah sepatutnya dialog aku. Barulah pihak lawan kecut perut.

Gandingan Ashraf dan Annuar.
Giliran aku pulak masuk ke gelanggang.
Kami tewas 4-6 dalam pertemuan ini.
Chinmay berpasangan dengan Fareez.
Aku tak menyaksikan perawanan ini.
Lain-lain perlawanan aku tak berkesempatan nak tengok. Lepas habis game aku aje, terus aku balik rumah. Kalau tak silap aku, TTC menang besar pada hari tu - 10 berbalas 4. kami menang 10 set. Dan kalah 4 set. Pasangan yang kalah termasuklah gandingan aku dan Izad, Dr Fatah dan Fareez dan Bobby dan Nafi. Satu lagi, aku pun tak tahu. Biarlah ia menjadi rahsia pagi pasangan yang kalah itu. Tahniah kepada TTC. Dan kepada Team Ex-UTM, janganlah berputus asa. Next time sponsor aku untuk mewakili Ex-UTM pulak. Kalau nak aku menang, kena bayar mahal sikit. Kalau bayar ciput, aku akan bagi TTC menang. He he he... Semoga berjumpa dan berentap kembali pada tahun hadapan.

TAMAT.

Bergambar beramai-ramai.
TTC menang 10-4. Tahun depan jumpa lagi! Vamos!!