m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Wednesday, March 7, 2012

Cucur udang yang hebat!

Ini bukan kisah gosip artis. Bukan jugak kisah politik atau politikus yang licik. Ini kisah makanan. Makanan yang aku beli kat Bandar Seri Putra semalam. Ia adalah kuih cucur udang yang hebat. Apakah yang hebat sangat pasal cucur udang ni? Harganya lebih mahal dari cucur udang biasa. Satu ketul berharga RM1.30. Dulu dia jual RM1.20. Entah bila pulak dia dah naik harga. Saiz cucur udang ni sangatlah besar. Sebesar talam!!! ................ okaylah. Aku tipu. Takkanlah sebesar talam pulak kan? Ia sebenarnya sebesar........ piring terbang alien UFO. Ha ha ha ha... Ia sangat sedap kalau dimakan panas-panas. Lagi panas lagi bagus. Paling bagus lagi kalau minyak panas dimasuk dalam mulut, dan goreng cucur udang tu dalam mulut kita sendiri. Bila dan masak aje terus telan. Kalau makan cara tu pasti mengancam kesejahteraan manusia sejagat. Bila digigit, penuh dengan kegaringan, kerangupan, kenyaringan dan titisan air liur akan mula terhambur keluar menempiasi seluruh meja makan. Bayangkanlah kesedapannya yang sangat asli dan hebat ini.

Tapi... Ada tapinya... Jangan makan bila kuih cucur udang ini dah sejuk. Inilah yang berlaku pada aku semalam. Bila dah sejuk dan masuk angin, ia akan menjadi sangat keras bak batu granit di pergunungan. Dan jugak liat, bak getah sekerap yang tak mampu digelek lenyek. Terkial-kial aku nak menghabiskan cucur udang ini tatkala ia dah sejuk. Gigi-gigi pun bagai nak tertanggal dari gusinya. Nak menelan satu hal pulak lagi. Usus perut pun memberontak kerana dikerah untuk menghadamkan satu makanan yang sangat liat dan mencabar ini.

Akhir kata, belilah cucur udang sebesar space ship UFO dengan harga RM1.30 satu dan nikmatilah pengalaman yang sangat mengujakan ini.

Cucur udang yang telah dipotong-potong.

Banjir kilat Ampang

Kuala Lumpur dilanda hujan lebat malam semalam. Hujan memang sangat lebat dan dalam jangka masa yang agak lama. Aku dah agak, mesti ada tempat-tempat yang akan banjir. Waktu malam aku keluar rumah untuk menghantar Wanie ke kelas malam di sekolahnya di Kampung Melayu Ampang. Waktu tu memang air hujan tengah mencucur sangat deras dari langit. Kilat sabung menyabung. Malah ayam sabung pun turut sabung menyabung jugak. Suasana memang sangat mengerikan. Aku ingat nak suruh Wanie ponteng aje satu hari dari pergi ke kelas malamnya. Tapi bila nampak Wanie tengah bersemangat waja, maka aku pun terus memandu kereta ke arah sekolah. 

Gambar kawasan Masjid Kg Melayu Ampang. Di depannya jambatan yang dinaiki air.
Bila dekat nak sampai dengan sekolah, tiba-tiba ada beberapa orang pemuda dan penduduk kampung telah mengarahkan supaya kereta buat lencongan. Jambatan yang berdekatan dengan sekolah telah dinaiki air sungai. Kenderaan tak boleh lalu. Aku bagi tau Wanie, balik rumah ajelah baca buku. Sekolah pun macam tutup aje. Mesti ramai bebudak dan guru-guru yang tak pergi ke sekolah malam tu. Wanie setuju. Aku jugak pada masa yang sama sangat berterima kasih dan mengagumi geng-geng orang kampung yang telah menjaga trafik dalam hujan yang sangat lebat. Habis kuyup basah lencun setiap pemuda kampung yang berkawal di sekitar Sungai Ampang. Pada mereka semua, aku tabik spring. Toing toing toing!

"Lencongan, lencongan.... jambatan banjir".
Pagi ni bila aku bukak surat khabar, memang satu KL dah banjir. Ampang pun tak terkecuali. Bilik tidur kami pun turut dimasuki air. Terpaksa menadah titisan air hujan yang turun dari bumbung dengan bekas-bekas plastik. Kalau tunjuk kat rancangan Bersamamu TV3 mesti boleh dapat sumbangan, kurang-kurang dua puluh atau tiga puluh ribu boleh masuk akaun. Apa-apa pun, Tuhan yang Maha Mengetahui kenapa KL dan sekitarnya hujan lebat malam semalam. Hikmahnya pasti ada walaupun kita tak nampak. Kita perlu yakin dan redha!

Menadah air dari langit dalam bilik.

Tuesday, March 6, 2012

Gosok Mr Aladdin

Okay, lepas bincang-bincang, kami putuskan untuk tak memasak di rumah. Kami nak tapau aje nasi dari kedai. Kedai yang dipilih ialah Restoran Ruz Aladdin Nasi Beriyani Johor yang terletak di Jalan Ulu Kelang, bersebelahan dengan Hotel Flamingo. Kedai tu pun tak jauh dari rumah aku. 

Kami order nasi beriyani berlaukkan kambing, ayam dan ikan dory. First time aku jumpa nasi beriyani ikan. Apatah lagi ikan mat saleh yang diimport. Sementara menunggu para pekerja menyiapkan pesanan kami, aku nengoklah Amier melukis menggunakan I-Pad. Amier lukis gambar dinosaur. Suka benar Amier pada dinosaur. Tak begitu lama menunggu, nasi beriyani pun siap disediakan.

Kat rumah kami makan dengan lahap, macam selalu. Yang paling hebat ialah lauk kambing. Satu bungkus boleh kongsi dua orang. Memang banyak betul isi dia. Harga satu set beriyani kambing ialah RM18.00. Beriyani ayam dan beriyani ikan ialah RM14.00. Jadi, pilihlah sendiri mengikut selera masing-masing.

Amier tengah fikir apa nak lukis.
Mula-mula lukis spinosaurus.
Lepas tu lukis alosaurus pulak.

Menyusu anak kucing

Balik dari membeli belah dari kedai haiwan peliharaan di Ampang, kami terus menyediakan susu di dalam botol untuk menyusukan anak-anak kucing yang baru berusia beberapa minggu. Anak-anak kucing yang enam ekor tu namanya adalah seperti berikut: Spotty, Guard, Isabel, Snowy, Carrie dan Tempe. Tempe tu aku yang bagi nama. Jadi, kalau aku berasa lapar, aku bolehlah makan tempe. Kan orang Jawa makanannya adalah tempe! He he he...

Kami sumbat puting botol ke dalam mulut anak-anak kucing. Mereka nampak resah. Tak selesa. Kami suakan jugak berkali-kali. Akhirnya ada jugak yang beralah dan terpaksa menghisap susu menggunakan puting siikon, walaupun secara tak rela. Dalam pada tak suka tu ada pulak sekor anak kucing yang mengunyah puting susu tu sampai rabak dibuatnya. Langsung dah tak boleh pakai. Hmmm... ganas pulak yang sekor ni. Itulah pertama kali aku menyusukan binatang. Mereka lebih selesa menyusu terus dari ibu mereka, Snowcat.

Aku sedang paksa Carrie menghisap susu botol.

Monday, March 5, 2012

Membeli-belah untuk kucing

Sekarang sudah ada sembilan. Satu besar, dua sedang dan enam kecil. Jumlahnya sembilan. Sembilan ekor kucing yang kami bela kat luar rumah. Kami rasa dah tiba masanya untuk upgrade sikit layanan yang kami berikan kepada kucing-kucing kami. Baik dari segi makanan, minuman, tempat bermain, jamban serta total life style kucing-kucing yang kami bela tu.

Pada hujung minggu sudah, kami ke satu kedai haiwan dan ber-shopping kat sana. Memang beraneka jenis makanan kucing yang dijual. Dari yang berharga rendah dan low quality, sampailah ke harga yang sangat mahal - high quality. Macam-macam jenama ada. Dan banyak jenama yang kami tak pernah dengar pun. Kami tanya juru jual tu, ada tak makanan yang kalau kucing makan sikit aje dah kenyang. Juru jual perempuan Melayu tu nampak memang cukup expert pasal kucing dan makanannya. Dia kata, ada. Lalu kami ditunjukkan ke satu jenama makanan kucing iaitu Evo. "Yang ini memang kalau kucing makan sikit aje dia dah kenyang. Bukan dia tak suka. Tapi sebab dia akan cepat kenyang". Itulah kata juru jual tu. Bila kami tanya pasal jenama-jenama lain, dia kata memang lain jenama, lain pulak kesannya pada kucing. Ada jenis makanan kucing yang kalau kucing makan dia akan ketagih. Seolah-olah macam ada dadah. Ada pulak jenis makanan kalau kucing makan dia akan menjadi semakin lapar. Ada jugak yang jenis kalau kucing nengok aje makanan tu, dia terus kenyang. Tak sempat nak makan dia dah sendawa. Burpppp!!! Uh! Itu lagi hebat!

Wanie tengah nengok makanan kucing, tapi kat bahagain makanan anjing pulak.
Selain dari membeli makanan kucing, kami jugak beli susu segar dalam kotak untuk kucing. Syampu, berus bulu, botol susu, jamban dan pasir kucing, jugak kami beli. Cakap pasal pasir kucing, rupanya ada macam-macam jenis pasir kucing yang dijual di pasaran. Yang biasa kami beli ialah pasir yang dibuat daripada tanah liat (clay). Tapi rupanya ada jugak pasir kucing yang dibuat daripada kertas terpakai, serbuk kayu, kayu serpih dan ada pulak dari kristal tiruan. Yang kristal tiruan tu pasirnya sangat berkilat dan ada warna warni yang bersinar. Boleh buat labuci pasang kat baju gown. Tapi kata juru jual tu, jenis yang macam tu dia tak menyerap lembapan. Jadi bila kucing berak, pasir yang kena najis tu perlu dibasuh, dan bila dah dibasuh, boleh pulak dipakai lagi berulang-ulang kali sampai tempoh sebulan. Isy isy isy... Tak ada kerjalah pulak nak basuh najis kucing macam tu sekali. Tapi itulah kepelbagaian perkakas kucing yang kami jumpa tempoh hari. Jumlah perbelanjaan kami hari tu mencecah RM300 jugaklah. Semoga kucing-kucing kami lebih terbela sekarang.

Amier pun nengok makanan kucing kat tempat yang salah jugak.
Ini adalah peralatan haiwan yang hebat.
Sedang mencari vitamin untuk kucing.

Main tenis tak cukup korum

Abang Aziz selalu kata, sekarang dah semakin susah nak tempah court tennis kat Titiwangsa. Walaupun court ada 10 bijik, tapi selalunya 6 bijik akan ditempah oleh geng-geng DBKL untuk coaching budak-budak sekolah. Memang coaching ni penting, tapi tak ada tempat lain ke? Orang awam yang kaki tenis ni pulak yang jadi susah nak main tenis. Akhirnya abang Aziz mengalah. Dia terpaksa buat booking tenis untuk main waktu petang. Kalau waktu petang aku pulak yang tak senang. Itulah waktu kami sekeluarga beriadah, menziarahi keluarga serta membeli-belah.

Tapi pagi Sabtu lepas abang Aziz telah berjaya mendapatkan court waktu pagi. Yes! Bila dapat aje sms dari abang Aziz, aku terus pasang niat nak turun main kalau tak ada aral. Awal-awal pagi aku dah bertolak, dengan harapan boleh main awal dan boleh balik awal jugak. Sesampainya di gelanggang, yang ada cuma aku sorang. Jadi aku buatlah stretching dulu. Lepas tu siap keringkan kawasan gelanggang yang bertakung air hujan. Lepas tu buat training serve pulak lagi. Dah pukul 8 lebih, barulah nampak kelibat abang Haris. Lalu kami main stroke ringan-ringan sebelum abang Aziz pulak datang.

Abang Aziz sedang bersedia menerima servis dari abang Haris.
Jumlah kami kini baru tiga orang. Kurang sorang untuk main double. Lalu abang Aziz ajak main single. Aku sahut cabaran. Siapa dapat menang 3 game dulu dikira pemenang. Setelah berhempas pulas, akhirnya aku menang 3-0. Lepas tu abang Haris pulak lawan abang Aziz. Kalau tak silap aku, abang Aziz kalah lagi. Lepas tu giliran aku pulak lawan abang Haris. Dan keputusannya aku kalah 0-3. Padahal abang Haris tu telah buat by-pass jantung 3 tahun dulu. Tapi nampak masih cergas pulak. Lepas tu kami rehat pasal kalau main single memang cepat penat. Tunggu punya tunggu akhirnya Shahril datang join kami. Waktu tu dah pukul 9 lebih. Dan kami pun mulalah main double. Aku partner dengan abang Haris, manakala Shahril pulak partner dengan abang Aziz. Ketika aku dan partner tengah leading 4-3, aku terus tengok jam yang aku simpan kat tepi gelanggang. Alamak! Dah pukul 9.30. Aku terpaksa bergegas pulang selepas mengucapkan terima kasih pada semua. Masa tu kebetulan abang Md Nor ada. Jadi dialah yang ganti tempat aku.

Main pagi tu memang best, tapi alangkah lebih baik kalau semua players datang awal pagi. Dari jam 8 sampai 9 pagi tu kurang-kurang boleh dapat main double 2 set penuh. Tapi oleh kerana pleyers datang lambat, malah ada beberapa lagi players yang terpaksa batalkan niat nak join pasal ada urusan lain, jadi kami terpaksa memulakan game double pada jam yang sangat lewat. Tak apalah. Lain kali mungkin ada peluang lagi kot. Majulah sukan tenis untuk negara...

Abang Haris mempunyai backhand yang hebat.

Alamak! Tayar Exora pulak pancit!

Masa pergi Gemencheh minggu lepas, semua berjalan lancar. Kereta tip top. Boleh pecut sampai 430 km sejam. Boleh buat drift tengah-tengah highway Plus KL-Seremban. Malah buat wheely pun tak jadi masalah. Memang hebat. Tapi selang beberapa hari lepas tu, tetiba tayar sebelah belakang pancit kempis terus. Hilang anginnya. Dalam hati aku berbisik, "Baik jugak dia pancit masa tengah parking kat porch rumah. Kot dibuatnya kempis tengah jalan, kan lagi haru". Inilah peluang aku untuk mencuba mengganti tayar bagi kereta Exora pulak. Macam mana nak keluarkan tayar spare pun aku masih belum belajar. Maka inilah saat aku perlu belajar semuanya agar tidak kelam kabut di kemudian hari.

Tayar yang kempis.
Tanpa berlengah, aku pun cari ikhtiar untuk mengeluarkan tayar spare. Pelik jugak cara dia simpan tayar spare bawah kereta. Susah sikit nak ambil tayar tu. Kalau kereta sedan biasa maca kereta Wira, senang aje. Dengan segala kepayahan, tayar spare pun berjaya dikeluarkan. Lepas tu aku cuba pulak tanggalkan tayar yang pancit dari kereta. Mula-mula jack kereta. Okay. Selesai. Lepas tu bukak nut kereta. Okay. Pun selesai jugak. Lepas tu nak keluarkan tayar kereta pulak. Tang ini yang aku gagal. Tarik punya tarik, pusing punya pusing, tayar masih melekat kuat pada pemegangnya. Aduh! Ada apa-apa skru lagi ke yang aku tertinggal? Setelah dikaji, rasanya semua skru dah dicabut. Sampaikan segala skru kat enjin pun aku dah tanggalkan. Tapi tayar masih tak boleh dikeluarkan. 

Last-last aku ke workshop kereta dan panggil sorang mekanik tu suruh tolong aku. Lalu sorang mekanik tua terus meluru ke rumah aku dan membawa satu kayu balak sebesar pemeluk King Kong. Isy isy isy... Nak buat apa dengan kayu sebesar tu? Bisik aku dalam hati. Bila sampai kat rumah aku, mekanik tu pun kata, "Dia manyak keras. Nanti mesti taruk minyak." Lantas dia menghayun kayu gadang tadi dan menghentak tayar kereta Exora sekuat hati berkali-kali sampai tercabut tayar dari tubuh kereta. "Hah! Nanti lu ambil ini tayar bawak workshop." Aku pun berbuat demikian. Rupanya ada satu skru besar melekat kuat pada tayar. Inilah penyebabnya. Lepas tayar dipam, aku bayar RM5.00 dan pasang balik tayar tadi kat kereta Exora . Aku terfikir kemudiannya, kalau perkara ni terjadi kat tengah highway, alangkah harunya untuk membukak tayar yang dah macam kena patri kat badan kereta. Tuhan Maha Kaya! Urusanku telah dipermudahkan - seperti biasa...