m y f a m i l y

m y   f a m i l y

Wednesday, December 14, 2011

Ke MRSM Gemencheh sebelum subuh

Selasa semalam aku minta off dari ofis pasal nak hantar Syahmie pergi interview kat MRSM Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan. Beberapa hari sebelum pergi, aku ada tanya staf aku yang duduk kat Negeri Sembilan akan duduk letaknya pekan Gemencheh ni. Tapi tak sorang pun yang tau. Aku jadi resah. Kot-kot Gemencheh terletak di suatu sudut penjuru dunia yang jauh dari tamadun kemanusiaan. Mungkin di dalam belantara tebal yang dilingkungi kawanan gajah dan badak sumbu serta gorila. Hirau akan kemungkinan terlambat untuk sampai ke destinasi, kami telah bangun seawal jam 4 pagi. Masing-masing pekena telur ayam rebus 3/4 masak. Dan dengan semangat yang kental, kami menaiki Exora meredah gelita pagi.

Kalau ikut peta Google, masa yang diambil untuk sampai ke destinasi kira-kira 2 1/2 jam. Tapi oleh kerana takut tersesat, jadi aku bagi time lebih sikit. Pagi sangat dingin, lebih-lebih lagi dihembus angin aircond kereta. Lebuhraya sangat lapang. Dan jam enam lebih, kami sampai di Alor Gajah dan bersolat subuh di sebuah masjid berdekatan. Pak imam masjid tegur aku dan kami bersembang. Aku menyatakan harat kami untuk menghantar Syahmie ke MRSM. Semakin lama bersembang, semakin panjang pulak corat-coret pak imam tadi. Berkali-kali aku bagi salam selamat tinggal. Tapi dia masih jugak menyambung cerita. Kami cepat-cepat naik kereta meninggalkan perkarangan masjid. Dari jauh masih kedengaran sayup-sayup suara pak imam menyambung ceritanya mengenai hal sekolah.

Nun di belakang ada court tenis dua buah.
Menunggu waktu mendaftar.
Sedang membaca latar belakang MRSM Gemencheh.
Cukup ramai yang datang interview.
Kami sampai di MRSM Ulul Albab kira-kira sebelum jam 8 pagi. Terus parking kereta dan tunggu saat untuk mendaftar. Aku rasa kamilah keluarga pertama yang tiba di situ dengan penuh semangat. Sambil tunggu waktu, kami bersarapan dalam kereta, baca Yasin, baca buku dan termenung. Sempat aku nengok ada court tenis kat MRSM ni. Aku pesan kat Syahmie, "Nanti bolehlah main tenis kat sini." Syahmie sekadar mengangguk. Memang cantik tempat ini, dan terpinggir dari hiruk-pikuk kota. Sesuai untuk pelajar mendalami ilmu. Cuma yang aku perasan, kat sini banyaklah pulak lalat. Mungkin berdekatan dengan tempat ternak ayam kot. Dulu kat sekolah lama aku, MRSM Pengkalan Chepa pun rasanya banyak jugak lalat. Mungkin semua MRSM memang banyak lalat kot. Tak taulah.

Lalat memang banyak kat sini. Siapa nak tahi lalat kat muka, sering-seringlah datang ke sini.
Selepas mendaftar jam 8.30 pagi, Syahmie pergi untuk ditemuduga dan untuk mengambil peperiksaan yang disediakan. Ini termasuklah menghafaz Quran beberapa ayat dalam masa kurang setengah jam, serta ujian Matematik, Sains dan Jawi. Sementara itu ibubapa diarah berkumpul di surau yang agak besar untuk dengar taklimat dari pengetua sekolah. MRSM ini macam MRSM lain jugak, cuma yang lebihnya dia ada kelas hafaz Al-Quran 30 juzuk serta ada subjek bahasa Arab. Jadualnya memang pack habis. Tapi aku memang berkenan dengan silibus ini. Seronok kalau anak-anak dapat jadi hafiz dan hafizah.

Pengetua memberi taklimat.
Ibubapa mendengar taklimat dari pengetua sekolah.
Inilah masjid tempat kami solat subuh.
Masjid yang kecil dan tenteram.
Sesudah ujian, temuduga dan taklimat, kami pun meninggalkan halaman MRSM Gemencheh kira-kira jam 12 lebih tengahari. Perut kami dah mula berkeroncong lagu Bengawan Solo. Mencari-cari jugak tempat makan ala-ala kampung. Akhirnya kami jumpa satu tempat makan tepi jalan yang dikunjungi ramai orang. Promosinya adalah masakan asam pedas Melaka. Kami order dua set asam pedas ikan pari. Dan tambahannya aku ambil ikan keli masak cili. Tak lama menunggu, makanan pun sampai. Kami makan dengn penuh selera, walaupun tahap kesedapannya sekadar biasa-basa sahaja. Sebiji setengah aku bedal telur masin pasal isteri dan anak aku tak makan telur masin sangat. Tak semena-mena aku ternampak nama Sharipah Atan tertera pada dinding freezer kat kedai makanan tu. Dalam hati aku terdetik, banyak betul kerabat Pak Atan ya...

Eh eh. Macam pernah kulihat nama ini. Tapi di mana ya?
Menjamu selera - pari masak asam pedas.
Syahmie juga teruja dapat makan masakan orang Melaka.
Bergambar selepas makan.
Ramai yang mengunjungi kedai makan ini.
Kenyang perut senang hati.
Sesudah makan, kami bertolak pulang. Singgah sebentar di gerai tepi jalan untuk membeli belacan. Kat Melaka memang famous dengan belacannya. Yang lagi busuk lagi power. Aku cari belacan yang paling busuk di dunia dan telah menjumpainya di warung yang kami singgah. Sekali cium dah nak pitam aku dibuatnya. Ya! Belacan itulah yang harus kubeli! Kalau buat umpan mancing pun pasti ikan-iakan di air akan merangkak-rangkak ke darat untuk mendapatkan secebis dedak umpan berperisa belacan. Kami juga membeli satu bekas wajik sirat. Sekali kami test makan, aduhai!!! Sedapnya bukan kepalang. Hampir-hampir aku menitiskan air mata kejantananku kerana tak tertampung rasa terharu bila memakan wajik sirat yang sangat sedap itu.

Syahmie dengan belacan yang terbusuk dan tersedap di dunia.
Siapa nak beli belacan, datanglah ke sini.
Sebelum sampai di tol Alor Gajah, kami singgah pulak kat satu gerai yang menjual buah binjai. Buah yang susah nak jumpa kat Kuala Lumpur. Sekilo dia jual RM10. Aku ambil empat biji yang berskala sekilo lebih. Buah binjai ni kalau dicampur dengan sambal belacan yang terbusuk di dunia, kalau makan dengan nasi lauk lemak cili api, pasti seseorang itu akan membara dan terus taksub dengan juadah itu. Keenakannya tak payahlah nak diceritakan di sini, kerana ruang menulis seakan-akan terlalu kecil untuk menghuraikan secara terperinci kesedapan rasa yang mengulit segenap permukaan lidah. Tengok tu, aku baru cakap sikit air liur korang dah sebaldi melimpah. Tutup mulut tu! Malaslah aku nak sambung cerita. Okay. Dipendekkan cerita, kami pun baliklah dengan selamat. Namun mataku adakalanya menjadi kuyu apabila terkena terik pancaran matahari. Terpaksa ku tahan dan kubeliakkan mataku kerana aku sedang memandu. Sampai di rumah kira-kira jam 3 petang.

Banyaknya buah binjai.
Harumannya menusuk kalbu.


Tuesday, December 13, 2011

Tutti Frutti yang enak dan sihat

Pada hari Ahad lalu, selepas pulang dari main tenis kat Titiwangsa, kami singgah ke kedai untuk membelli roti buat sarapan. Ternampaklah oleh kami satu kedai popular yang dah lama aku dengar tapi tak pernah pergi. Nama kedai tu ialah Tutti Frutti. Kedai jual aiskerim yoghurt yang tersohor di Malaysia. Kedai tu baru aje dibukak pagi tu. Bila balik rumah aku bagi tau wife aku, pasal dia yang nak try makan kat Tutti Frutti tu.

Siang sikit kami pun singgahlah ke sana. Dan alangkah terkejut tahap Planet of the Apes kerana begitu ramai orang yang beratur untuk membeli makanan yang tak pernah kami rasa tu. Aku ukur pakai pita pengukur, ada dekat-dekat 30km jarak barisan orang yang beratur tu. Letih aku nak kena tunggu teksi pulak untuk bergerak dari beratur paling belakang sampai ke kaunter membeli makanan. Oleh kerana aku tak pernah pergi tempat yang macam tu, aku suruhlah budak yang jaga kaunter tu ajarkan kat aku cara-cara nak ambil aiskerim yoghurt tu. Budak tu pun ajarlah, "Mula-mula pakcik ambil mangkuk yang besar atau kecil, lepas tu pergi kat mesin ini untuk ambil makanan. Bila tekan handle dia, maka keluarlah makanan dengan banyaknya. Tapi sebelum tekan, pakcik hendaklah membuat keputusan dengan betul. Kalau salah tekan, tak boleh ditarik balik. Nanti menyesal tak sudah pasal tersalah tekan. Dan pasti pakcik akan terkenang-kenang sampai bila-bila atas kesilapan yang pakcik lakukan itu." Panjang betul cerita budak tu. Tak habis lagi tu. "Bila dah ambil makanan, bolehlah pakcik menimbang makanan itu dekat mesin ini. Kami akan menimbang hingga ke mikro miligram. Tapi hari ini ada 50% diskaun. Jadi pakcik jangan risau. Kalau pakcik ambil satu mangkuk penuh, kami akan ambil balik setengah mangkuk. Lagi setengah mangkuk pakcik boleh bawak balik". Lain macam dia punya makna 50% diskaun tu.

Setelah diterangkan oleh cashier keai, barulah kami tau budak tadi bukan kerja kat situ pun. Entah budak sewel mana yang nak menyamar jadi staf pasal nak makan free. Hampeh. Setelah bayar dengan potongan setengah harga, kami pun beredar dan mencuba merasa makanan itu di dalam kereta. Ternyata rasanya sangat enak. Dan patutlah orang sebegitu ramai. Rupanya pasal diskaun 50% tu cuma satu hari aje. Sampai ke malam bila kami lalu, masih ramai lagi orang beratur nak beli aiskerim yoghurt yang dijual. Kami turut beli lagi semangkuk untuk dibagi kepada ibuku. Siapa yang belum pernah rasa, cubalah...

Depan kedai yang baru menerima pelanggan.
Rupanya pun sedap. Apatah lagi rasanya!

Monday, December 12, 2011

Kembali ke zaman dulu-dulu

Setelah agak lama jadual tenisku menjadi tak menentu kerana kesibukan aku dan abang Hj Nordin, maka akhirnya aku telah memutuskan untuk membuat tempahan sendiri court tenis kat Titiwangsa. Hari Ahad semalam aku bawak Syahmie dan Wanie untuk training tenis. Kali ni coach-nya adalah aku sendiri. Free of charge. Hampir satu jam aku coach anak-anak aku. Syahmie dah agak advance. Wanie masih mengambil masa sedikit untuk memahami rentak lantunan bola tenis. Perjalanan mereka masih jauh, tapi kalau terus digilap pasti boleh jadi sparring partners aku.

Jam 9 pagi, tempoh sewa court aku tamat. Datang seorang pemain tenis keturunan Cina bernama Edward masuk ke gelanggang. Kawan-kawannya yang sepatutnya datang masih belum datang. Aku dan Edward main stroke dulu. Lepas tu Edward ajak aku main kira. Aku tau, aku sure akan kalah pasal stamina aku tak seberapa kalau main single. Seperti dijangka, aku tewas 0-6. Tak lama lepas tu, kawan Edward datang. Goh namanya. Kami setuju untuk team-up lawan Edward sorang-sorang. Perlawanan pada mulanya seakan-akan berpihak kepada Edward. Tapi aku dan Goh masih bertahan. Dan akhirnya kami dapat menyamakan kedudukan menjadi 3-3.

Kawan tenis lamaku yang hebat, Foong tiba-tiba datang menempel nak tumpang main. Aku partner dengan Foong. Sementera Goh dengan Edward. Perlawanan bermula sengit. Tapi kemenangan set pertama 6-3 milik aku dan Foong. Foong betul-betul menunjukkan taringnya yang sangat tajam bak taring singa yang diasah dengan sharperner pensel. Di set kedua, kami lebih konfiden. Dan kami menang lebih mudah 6-1. Edward ambil nombor telefon aku dan Foong. Nak ajak kami main lagi lain kali. Aku puas dapat main double macam time dulu-dulu. Dan lebih puas lagi pasal menang kedua-dua set.

Wanie dan Syahmie.

Semangat berkobar-kobar.

Selamat pengantin baru Ilme & Seif

Tak lama lagi Ilme dan Seif akan bergelar suami isteri. Macam biasa, ofis wife aku mintak tolong aku lukiskan gambar dua mempelai ini untuk dibuat kad. Aku tak ada masalah. Maka terhasillah karikatur ini. Kepada pasangan ini, kami ucapkan Selamat Pengantin Baru. Semoga berkekalan berbahagia selamanya sehingga ke jannah. Semoga selalu dalam rahmat dan redha Allah hendaknya.

Bagaikan cacing kepanasan

Pulang dari kerja pada hari Jumaat, kami diberi tahu oleh anak-anak yang aircond kat bilik tiba-tiba mati tak berfungsi. Aku sendiri cuba menghidupkannya. Memang tak boleh hidup, walaupun telah diberikan CPR berkali-kali. Malam tu kami tidur dalam kepanasan. Aku okay aje. Memang kurang selesa, tapi masih boleh lena. Amier yang dah terlalu biasa ber-aircond, nampak gayanya macam resah tak karuan. Lasaknya makin menjadi-jadi ketika tidur. Semua orang ditendang-tendang dalam lena. Bergolek-golek Amier bak cacing kepanasan. Menendang-nendang Amier bak kuda kepang. Maaf, maksud aku bak kuda biasa.

Kelasakan Amir menyebabkan kami juga tak boleh lena aman. Jadi, aku dan isteri setuju untuk tidur di ruang tamu yang memang ada aircond 1.5 kuasa kuda laut. Kami buka sofa jadi katil ringkas. Ambil kerusi kayu untuk menampung kaki kami yang terjulur. Dalam keadaan yang lebih nyaman seperti itu, barulah kami boleh tidur dengan nyenyak.

Aku dan aircond paling berjasa.
Keesokan harinya, aku panggil oang aircond. Starter switch nya rosak dan diganti. Aircond turut diservis. RM100 lebih melayang. Tapi malam hari tu kami anak beranak dapat tidur dengan aman seperti biasa. Waaahhh... nyamannya bilik ku ini.

Aircond yang telah berusia lebih sepuluh dekad. Maaf, maksud aku sepuluh tahun.

Tukar minyak, boss

Dah beribu batu kereta aku mengembara. Masa untuk menukar minyak pun tiba. Sepatutnya dah lama kena tukar minyak. Tapi nak tunggu ada masa lapang dan ada bajet. Sabtu lalu aku berkesempatan menukar minyak. Lalu kuhantar ke bengkel kereta berdekatan.

"Tauke! Bagi tukar minyak ini kereta!"
"Apa minyak mau pakai? Biasa ka, semi-synthetic ka, synthetic ka?"
"Lain-lain minyak ada ka?"
"Ada, ada... Minyak masak ada, minyak wangi ada, minyak urut ada, minyak sapi ada..."
"Kasi campur semua boleh?"
"Boleh, boleh... " Dan adunan minyak pelbagai pun disediakanlah dan dimasukkan ke dalam enjin keretaku. Sejurus enjin dihidupkan, semerbaklah seluruh kawasan dengan bau-bauan yang enak, wangi dan berangin. Orang ramai yang kebetulan lalu-lalang di situ berasa kagum dan terharu. Aku berasa bangga. Tauke bengkel pun berasa yang sama. Dan sekarang.... Sekarang kereta itu dah kutolak masuk sungai pasal dah tak boleh dipakai lagi. Enjinnya rosak teruk akibat campuan minyak tadi.

Sejak kejadian itu, aku dah tak lagi mintak mekanik kereta pakai minyak pelik-pelik. Aku telah insaf. Dan kini aku sangat bergembira menggunakan kereta Wira yang dah kemek sebelah tapi masih boleh berfungsi dengan baik. Begitulah kisah dongeng Hikayat Kereta Mahawangsa.

Robot sakti sedang menyedut minyak hitam lama.

Inilah robot sakti yang diberi nama Wang Mali.

Friday, December 9, 2011

Bahana taksub cium tangan orang

Macam mana anak-anak nak tunjuk hormat kat orang yang lebih tua? Bagi salam, senyum, salam cium tangan... Dan macam-macam cara lagilah. Kali ni aku nak kisahkan sikit pasal cium tangan orang-orang tua. Satu amalan yang mulia ketika bersalam. Tapi aku ada dua orang pakcik, Pakcik Udin dan Pakcik Jamil yang tak berapa gemar tangannya dicium. Tapi aku tak pasti sama ada mereka tak suka anak-anak saudara cium tangan mereka, atau cuma tak suka aku yang cium tangan mereka. Mungkin mereka mempunyai alasan mereka sendiri, seperti tak nak terlalu dimuliakan. Atau apakah mereka mempunyai sebab yang tersurat yang masih belum dapat dibongkar lagi. Aku nak kisahkan satu pengalaman peribadi aku mengenai hal ini.


Pada suatu hari, kami buat kenduri kat rumah kami. Sebenarnya aku tak ingat pakcik aku yang mana satu. Salah sorang di antara merekalah. Aku tunggu dengan sabar kat hadapan rumah akan kehadiran mereka. Setelah menungu sekian lama, akhirnya tibalah salah seorang pakcik aku dengan wajah berseri-seri. Aku pun menegur, "Assalamualaikum! Wahai pakcik febret ku yang kusayangi, apa khabar pakcik di sana?" sambil melemparkan suatu senyuman penuh makna. Pakcikku yang tadi berjalan tenang, tiba-tiba berubah wajah. Seolah-olah dia telah mengetahui niat brutal ku yang kupendam selama ini. Aku memang telah bertekad akan mencium tangan pakcikku itu walau apa pun berlaku. Akan kugenggam erat tangan pakcikku. Tak akan kulepaskan. Akan aku cium melekap macam ikan bandaraya kat kulit tangan pakcikku yang mulia. Itu tekad aku.


Dan aku pun menghulurkan tangan untuk bersalam. Dan pakcikku dalam keraguan dan keterpaksaan telah juga menghulurkan tangannya dengan penuh was-was dan prasangka. Aku sambut tangannya erat. Aku dah siap buat training angkat berat untuk peristiwa bersejarah ini. Genggaman dan cengkaman tanganku terlalu luar biasa kuatnya. Pakcikku lantas dirundung suspen. Aku tundukkan kepalaku. Mulut kumuncungkan macam mulut musang. Bibir kujuihkan macam bibir Kak Nita Sarawak. Pakcikku menanti dengan debaran saat bibirku menyentuh kulit tangannya. Dapat aku rasakan betapa terketar-ketar tangannya. Dan dadanya turut berdegup kencang kerana terlalu nervous. Aku tak peduli. Aku dapat rasakan pakcikku cuba berkali-kali menarik tangannya. Tapi gagal, kerana aku telah menyimpulkan tanganku dengan tangannya. Di saat lagi 3 milimeter bibirku dah nak mencecah tangan pakcikku, tiba-tiba pakcikku menyentap kuat tangannya!
 

Aku masih tak melepaskan tangan pakcikku. Niat untuk mencium tangan pakcikku mesti diteruskan. Tapi oleh kerana sentapan dan tarikannya terlalu kuat, aku hampir tersungkur ke bumi, dan hampir jatuh macam nangka busuk jatuh atas tanah. Oleh kerana aku khuatir akan keselamatan diriku, maka akhirnya aku terpaksa jugak melepaskan tangannya dari genggamanku. Argh! Misi kali ini gagal lagi!!!


Sampai hari ini aku masih tak tau mengapa pakcikku yang dua orang tu tak nak dicium tangannya oleh aku. Adakah kerana misaiku yang berceracang bagai nak mencucuk tangannya? Atau adakah kerana janggutku yang berserabut dan terkadang mengumpul habuk dan kotoran? Atau adakah kerana bulu hidungku yang terkeluar panjang dari lubang hidung dan dipenuhi dengan hingus dan hama? Atau adakah kerana bibirku yang terlalu menjuih dan dipenuhi dengan sisa-sisa makanan yang belum sempat aku bersihkan? Aku tak tau sebabnya. Yang tau hanyalah yang empunya diri.

Pengajaran dari peristiwa ini adalah, kalau seseorang tu tak nak tangannya dicium ketika bersalam, tak payahlah cium. Cukuplah sekadar salam biasa sambil menguntumkan senyuman semanis madu. Tapi jauh di sudut nubari aku, aku masih berazam untuk terus berusaha mencium tangan kedua-dua pakcikku itu. Mungkin kali ini dengan kaedah lain pulak. Aku akan memanjangkan muncungku macam tenggiling, atau macam tenuk, oh... atau mungkin macam belalai gajah. Kali ini mereka tak akan mungkin terlepas lagi. He he he... (ketawa macam orang jahat dalam drama kat tv).